SINOPSIS


Buku ini terbahagi kepada 10 bab yang utama dan terbahagi kepada topik-topik kecil yang membuat penjelasan yang lebih jelas. Bab pertama membincangkan sejarah perundangan Malaysia yang bermula dari zaman Kerajaan Melaka. Kemudian diikuti dengan Zaman Portugis dan Belanda, selepas itu, Undang-undang Inggeris diperkenal pertama kali pada tahun 1786 apabila Francis Light memperolehi Pulau Pinang sebagai Negeri Selat. Segala yang dibincangkan jelas menunjukkan bahawa undang-undang Melaka adalah bersumberkan undang-undang Islam. Ia merupakan undang-undang asas bagi negeri-negeri Tanah Melayu sebelum Kedatangan Inggeris. Undang-undang Islam yang dilaksanakan itu merangkumi semua bidang perundangan, khasnya undang-undang Kontrak itu sendiri.


Dalam bab ini, penulis juga memberikan sejarah ringkas Undang-undang Kontrak di Malaysia. Sebahagian besar undang-undang Malaysia adalah warisan daripada pendudukan British. Akta Kontrak di Malaysia adalah berdasarkan kepada konsep-konsep yang wujud dalam kurun ke 19. Ia tidak mengandungi unsur-unsur bagi perlindungan bagi pengguna kerana Akta Malaysia masih berpegang kepada konsep kebebasan kontrak. Dalam bab ini juga menyebutkan bahawa Undang-undang Kontrak Islam tidak dapat memainkan peranan penting di Malaysia. Ini adalah kerana kesemua penduduk di Malaysia sama ada yang beragama Islam atau bukan beragama Islam dikuasai oleh Akta Kontrak dan undang-undang Inggeris dalam hal ehwal kontrak. Perbandingan antara Undang-undang Islam dengan undang-undang Inggeris(common law) dan undang -undang khasnya Undang-undang Kontrak jelas terpapar dalam bab pertama.


Bab kedua menjelaskan konsep balasan dalam undang-undang Inggeris, undang-undang Malaysia dan India. Unsur-unsur Konsep Balasan tersebut telah dibandingkan dengan Prinsip am balasan Undang-undang Islam. Walau tiada wujud perbezaan yang asas antara undang-undang Ingggeris, Malaysia, India dan Islam mengiktiraf bahawa balasan itu tidak semestinya berbentuk barangan. Tetapi adakala berbentuk tindakan dan faedah Dalam penjelasan membezakan konsep perbezaan antara Islam dengan undang-undang Inggeris, India dan Malaysia. Dalam penguatkuasa satu-satu kontrak, Islam tidak memestikan mewujudkan balasan. Tetapi apa yang penting ialah kerelaan dan persetujuan kedua pihak di samping kandungan kontrak dan keupayaan pihak-pihak yang berkontrak. Pemecahan kontrak dan sifat mungkir janji terhadap satu-satu perjanjian adalah satu sifat keji dan dianggap munafiq sebagaimana nas-nas hadis yang diberikan. Islam mengarahkan umatnya supaya memberikan contoh yang sebaik mungkin. Dalam melakukan kontrak Islam tidak berdasarkan unsur perdagangan sebagai yang terpenting dan bukanlah semata-mata tanpa balasan seorang itu boleh membatalkan pelaksanaan kontrak. Dalam hal ini kita dapati undang-undang Kontrak Islam lebih bermakna jika dibandingkan dengan undang-undang Inggeris, Malaysia dan India. Di samping memelihara hubungan baik dan harmoni terhadap pihak-pihak yang melakukan kontrak, Islam juga dapat membentuk keperibadian yang luhur serta rasa tanggungjawab di kalangan masyarakat manusia.


Bab tiga mula membincangkan mengenai unsur-unsur Doktrin Balasan dengan merujuk kepada balasan lepas (past consideration). Seperti bab-bab yang lepas perbandingan dibuat antara Undang-undang Islam dengan undang-undang Inggeris, Malaysia dan India. Terdapat perbezaan yang besar dimana undang-undang Inggeris di satu pihak, undang-undang Malaysia, India dan Islam di pihak yang lain dalam hal balasan lepas (past consideration). Undang-undang Malaysia, India dan Islam tidak mengikuti undang-undang Inggeris dalam hal ini. Prinsip balasan lepas bukanlah balasan sah adalah satu prinsip yang tidak boleh disokong dalam dunia moden ini. Ia wujud dalam undang-undang Inggeris kerana pada permulaan undang-undang kontrak konsep balasan berdasarkan kepada konsep penukaran janji (exchange of promises). Prinsip Inggeris juga tidak dapat disokong kerana kadangkala ia membangkitkan satu kedudukan yang tidak adil. Undang-undang kontrak Islam adalah berpendirian sama sebagaimana undang-undang Malaysia dan India. Janji pihak kena tuntut untuk memberi balasan adalah sah, sama ada janji itu dibuat sesudah satu-satu tindakan dilakukan oleh pihak menuntut atau sebelumnya tanpa mengira tindakan pihak menuntut itu atas permintaan pihak kena tuntut atau tindakan sukarela pihak menuntut. Apa yang penting ialah bahawa janji itu dibuat atas dasar skarela pihak pihak kena tuntut dan tidak terdapatnya unsur-unsur yang bertentang dengan kehendak syara'.


Bab keempat pula menyentuh kepada balasan mesti datang dari penerima janji. Prinsip ini kadangkala boleh menimbulkan keadaan tidak adil kepada sesetengah pihak. Apabila keadaan ini timbul mahkamah akan menghadapi masalah untuk membuat satu keputusan yang adil dan saksama. Undang-undang Islam adalah berbeza dengan undang-undang Inggeris, tetapi sebaliknya sama dengan undang-undang Malaysia. Di mana balasan tidak mesti datang dari penerima janji, malah ia boleh juga datang dari pihak ketiga atau siapa sahaja. Walau bagaimanapun, undang-undang Islam meletakkan syarat, jika balasan datang dari pihak lain. Dari keterangan nas-nas serta ahli-ahli perundangan Islam jelas bahawa pihak ketiga atau pihak lain boleh mengadakan balasan asal sahaja pihak-pihak tersebut mendapat keizinan dari penerima janji dengan mematuhi beberapa syarat. Mengikut undang-undang Malaysia, keizinan mestilah didapati dari pembuat janji, tetapi sebaliknya Islam mensyaratkan bahawa keizinan itu datang dari penerima janji.


Dalam bab balasan tidak perlu memadai, penulis membincangkan prinsip janji pihak kena tuntut itu tidaklah semesti sepadan nilainya dengan tindakan atau janji yang diberi oleh pihak menuntut sebagai ganti. Ketiga-tiga undang-undang Inggeris, Malaysia dan Islam tidak mempunyai perbezaan yang besar dalam prinsip ini. Persamaan ini wujud pada asasnya, kebanyakan hakim-hakim Inggeris tidak akan menyoal serta mempertikaikan kecukupan balasan namun kontrak itu tetap sah. Hanya apa yang penting ialah bagaimana perjanjian itu dibuat? Apakah ia dilakukan secara persetujuan bebas, tidakadanya paksaan, pengaruh yang tidak berpatutan dan sebagainya? Sekiranya hal-hal ini berlaku maka perjanjian itu adalah tidak sah. Kompromi juga dianggap sebagai perjanjian yang dikuatkuasakan. Mahkamah tidak akan melayan sekiranya timbul ketidakpuasan sebelah pihak, walau bagaimanapun undang-undang telah meletakkan beberapa syarat tertentu terhadap perjanjian secara kompromi. Keadaan di Malaysia adalah sama seperti undang-undang Inggeris. Ini hanya dapat difaham dari takrif balasan, di mana penerima janji hanya perlu membuat sesuatu. Sesuatu di sini bukanlah memberi nilai yang sama atau sepadan.


Undang-undang Islam, pada asasnya tidak apa-apa perbezaan dengan undang-undang Inggeris dan Malaysia, tetapi ia memperbincangkan secara meluas dan terperinci. Islam tidak menerima balasan semata-mata harta, tindakan atau faedah secara mutlak. Nilaian harta adalah berbeza dengan undang-undang moden, dimana semua harta sah dijadikan balasan. Harta yang najis pada zatnya tidak sah dijadikan balasan, begitu juga yang terkena najis yang tidak dapat disucikan seperti minyak yang bercampur dengan arak. Walau bagaimanapun, jika barangan ini boleh disucikan maka sah dijadikan balasan.
Bab yang keenam pula menjelaskan Balasan mestilah sesuatu yang sebenar. Topik ini telah dibahagi kepada tajuk-tajuk yang kecil dan dibincangkan dari perspektif undang-undang Inggeris, Malaysia dan India. Tajuk-tajuk kecil yang dibahagikan adalah seperti berikut:
Keadaan di mana penerima janji berkewajiban melaksanakan suatu tugas yang ditetap oleh undang-undang.
1. Kedudukan di mana penerima janji telahpun terikat oleh suatu kontrak kepada pembuat janji.
2. Kedudukan diaman pihak menuntut terikat oleh suatu kontrak kepada pihak ketiga.

Berhubung dengan prinsip ini Islam telah mendasarka dengan beberapa nas al-Quran dan Hadis yang menunjukkan kewajipan dalam menunaikan apa-apa perjanjian yang dibuat oleh pihak-pihak yang berkontrak. Ini berbeza dengan undang-undang Inggeris, Malaysia dan India kerana Islam melarang perlaksanaan perjanjian itu jika ia berlawanan dengan kehendak syara'. Undang-undang telah membahagikan tanggungjawab itu kepada tiga bahagian manakala Islam pula membahagikannya kepada dua bahagian. Iaitu tanggungjawab manusia kepada manusia dan tanggungjawab manusia terhadap Allah s.w.t.


Dalam bab yang seterusnya iaitu Pelepasan daripada janji dan pembayaran sebahagian hutang sebagai pelepasan hutang sepenuhnya, penulis membincangkan pengiktirafan undang-undang yang sedia ada terhadap perkara tersebut. Undang-undang Inggeris pada amnya tidak mengiktiraf pembayaran sebahagian hutang sebagai pelepasan hutang sepenuhnya. Di Malaysia dan India adalah sebaliknya. Prinsip di dalam undang-undang Islam adalah sama dengan prinsip undang-undang Malaysia dan India, bahkan pelepasan dari hutang sepenuhnya merupakan satu perkara kebajikan dan sangat-sangat digalakkan sebagaimana yang dinyatakan dalam nas-nas al-Quran dan Hadis.


Prinsip Estoppel Ekuiti pula menjadi tajuk bab kelapan. Prinsip ini mula-mula wujud dalam Hughes v Metropolitan Rly. Co. Namun begitu, prinsip ini masih kabur pemakaiannya di Malaysia dan India. Di England beberapa unsur doktrin ini masih belum diterangkan Undang-undang Islam mengiktirafkan satu prinsip yang agak sama dengan Undang-undang Inggeris. Islam amat mementingkan kerelaan kepada pihak -pihak yang melakukan kontrak. Ini bertujuan untuk mengelakkan dari ketidakpuasan dan kerelaan kedua pihak, kerana unsur-unsur tersebut menghalang sahnya satu-satu kontrak.
Bab kesembilan pula membincangkan pengecualian kepada keperluan balasan. Dalam hal yang melibatkan pengecualian kepada keperluan balasan kedudukan antara undang-undang Inggeris, India dan Malaysia adalah sangat berbeza. Undang-undang Inggeris hanya mengenali satu kecualian tulen sahaja iaitu kontrak yang dibuat dengan cara tulisan dan dimetrikan. Kecualian ini tidak diiktirafkan di India. Di Malaysia kedudukan ini masih menjadi tanda tanya. Penggubal akta India dan Malaysia telah menyediakan beberapa kekecualian khas yang tidak wujud di England. Dalam undang-undang kontrak Islam pengecualian ini kebanyakan hanya dalam bentuk-bentuk kontrak yang dilakukan semata-mata untuk menghampirkan diri kepada Allah s.w.t.


Bab terakhir merupakan kesimpulan keseluruhan buku ini, penulis merumuskan kritikan yang ditimbulkan dalam Doktrin balasan dalam pelbagai perspektif undang-undang. Penulis juga memberi pandangan serta menjangkakan masa depan undang-undang Inggeris, Malaysia dan India.


Bahagian Kandungan Utama:

(Sila pilih kandungan yang hendak dibaca)

[ UHW 5090 ] [ PARTIKULAR BUKU ] [ PENGENALAN ] [ SINOPSIS ] [ KOMENTAR ]

[ GLOSARI ] [ PENUTUP ] [ Peribadi Pengulas ]